KORPORAT

Kenali Kami...

Ucapan Pengerusi | Pengenalan | Sejarah Penubuhan | Matlamat & Objektif | Fungsi | Lembaga Pemegang Amanah | Jawatankuasa Kecil

PENGENALAN

Sejarah tamadun Islam banyak mencatatkan kejayaan umat Islam membentuk institusi-institusi ummah dalam usaha memartabat dan merealisasikan Islam sebagai satu sistem hidup menyeluruh yang berpaksikan keimanan kepada Allah S.W.T. Institusi-institusi yang diwujudkan itu merangkumi pelbagai bidang dalam kehidupan manusia. Antaranya ialah institusi Baitulmal yang wujud pada awal pemerintahan Kerajaan Islam di al-Madinatul Munawwarah. Institusi ini menjadi contoh terbaik kepada umat Islam untuk mengurus dan membangunkan ekonomi ummah termasuk urusan wakaf, sedekah dan zakat. Pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Fatimiyyah di Mesir pula, institusi pendidikan yang terkenal iaitu Universiti al-Azhar dibina atas sumbangan wakaf dan bantuan daripada kerajaan sendiri.

Perkembangan institusi berasaskan wakaf di negara Malaysia juga telah lama berkembang. Kebanyakan masjid, surau dan pusat pengajian agama ditubuhkan melalui sumber wakaf, sedekah dan zakat. Namun demikian, sejak kebelakangan ini umat islam kelihatan kurang memberikan perhatian untuk menguruskan institusi tersebut dengan cara yang lebih berkesan. Lantaran itu usaha gigih perlu digerakkan semula untuk mendapatkan sokongan ummah melalui program pendidikan. Semangat pengorbanan yang tinggi dan jihad yang berterusan bagi meneruskan kegemilangan institusi tersebut perlu digembeling dan digerakkan dengan cara yang berkesan.

Di atas premis inilah Yayasan Muslimin ditubuhkan bagi mendidik dan mengajak umat Islam khususnya di Malaysia untuk bersama-sama memperjuangkan membina semula institusi ummah bagi menjana kegemilangan ummah untuk mendapat keredaan Allah S.W.T.