Pendidikan benteng lindungi akidah ummah

Oleh: Dr Suzana Muhammad Said (Peguam Syarie Negeri Perak)

Baru-baru ini, umat Islam dikejutkan isu pelancaran tudung di kelab malam dan ramai yang menyatakan ketidakpuasan hati mengenai tempat pelancaran tudung yang sepatutnya perlu sinonim dengan kesopanan dan aurat.

Namun, satu lagi isu yang kita agak terlepas padang dan tidak heboh dibincangkan kesannya, tetapi mempunyai kesan yang mendalam dan lebih seignifikan ialah berkaitan permohonan keluar Islam di Mahkamah Persekutuan oleh empat individu Islam di Kuching, Sarawak.

Keempat-empat individu itu mengaku keluar Islam dan permohonan yang dibuat Cuma untuk mengisytiharkan bahawa mereka tidak lagi beragama Islam.

Seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian pada 27 Februari lalu, kes berkenaan adalah permohonan untuk perisytiharaan keluar Islam, namun Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada panel lima hakim telah menolak permohonan perisytiharan keluar Islam terbabit.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa permohonan berkaitan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Sarawak untuk diputuskan di Mahkamah Syariah. Keputusan itu selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Perkara  121(1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam perakra di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa.

Selanjutnya Jadual Sembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan menetapkan hal ehwal berkaitan Islam dan undang-undang Islam, termasuk adat Melayu di bawah bidang kuasa negeri dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Kisah tiada kesudahan

Sebenarnya isu permohonan perisytiharan keluar Islam bukanlah isu baharu di Malaysia, tetapi kisahnya tidak pernah berkesudahan. Berdasarkan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, istilah ‘Melayu’ antara lain bererti seorang beragama Islam. Noktah.

Diperhatikan di Mahkamah Syariah pula tiada peruntukan atau tatacara berkaitan permohonan keluar Islam.

Pernah dahulu dicadangkan penggubalan undang-undang berkaitan pemulihan akidah dibincangkan tetapi tidak dapat dipastikan sejauh mana ia dipertimbangkan. Hal keluar  Islam atau murtad isu sangat sensitive kepada umat Islam.

Secara dasarnya, seseorang Islam tidak dibenarkan keluar Islam dan akan cuba dinasihatkan dan dipulihkan akidahnya. Oleh itu, bagaimana bagi kes di mana terdapat permohonan peristiharan untuk keluar Islam?

Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengarnya dan Mahkamah Syariah tiada peruntukan mengenai permohonan seumpamanya. Seperkara lagi yang perlu diketahui ialah dari segi undang-undang (common law).

Di mahkamah sivil, keputusan di mahkamah  yang lebih tinggi mengikat mahmakah di bawah hirakinya yang dipanggil doktrin ‘stare deciss’.

Ini bererti, keputusan Mahkamah Persekutuan mengikat kes yang dibicarakan di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan di mahkamah rendah (Mahkamah) Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Namun, keputusan Mahkamah Persekutuan adalah setara antaranya, bererti keputusan Mahkamah Persekutuan tidak mengikat Mahkamah Persekutuan yang lain pada masa akan datang sekiranya terdapat permohonan seumpama ini. Inilah dimaksudkan sebagai isu tidak berkesudahan.

Isu permohonan untuk keluar Islam masih tidak muktamad dan tiada jaminan bahawa ia tidak akan dibawa lagi untuk diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada masa akan datang.

Sehubungan itu, perbincangan mendalam berkaitan isu ini perlu diperhalusi. Undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk mengawal tingkah laku dan akidah umat Islam, tetapi aspek lain seperti pendidikan dan kesedaran perlu diberikan lebih penekanan.

-Tamat-

Sumber: Berita Harian, Jumaat, 9 Mac 2018