Bersangka baik eratkan silaturrahim

Oleh: Ahmad Shukri Yusoff (Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agam Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP)

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (Supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keiaban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Al-Hujurat: 12)

Berbaik sangka sangat dituntut dalam Islam keran aboleh mengelakkan daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Manusia yang bersangka buruk seolah-olah memfitnah orang kerana sifat itu tidak mempunyai bukti nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadi fitnah yang membawa kepada dosa besar.

Berbaik sangka mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan. Antaranya supaya hubungan persahabatan serta persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas daripada sangka buruk, maka yang ada dalam hati adalah sangkaan yang baik-baik.

Sudah pasti hatinya bertambah cinta kepada saudara dan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama manusia. Pada masa sama kelebihan berbaik sangka dalah dapat mengelakkan masyarakat daripada berpecah belah yang hanya akan merugikan anggotanya dan negara. Cuba kita perhatikan kata-kata Saidina Umar RA yang mengungkapkan: “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang  keluar daripada seorang saudara Mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.”

Berbaik sangka sesama insan juga akan menghasilkan sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Ummah yang mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang berjaya, akan menguntungkan semua umat Islam termasuk diri sendiri.

Cegah kemungkaran

Islam mewajuibkan umatnya mencegah kemungkaran di sekeliling dan persekitaran dengan kemampuan yang ada. Andai kata kita melihat datu ternampak orang melakukan dosa dan kemaksiatan, tetapi masih bersikap baik sangka terhadap perlakuan mungkar itu, kita turut berkongsi saham dan tidak terlepas daripada menanggung dosa kemaksiatan orang terbabit.

Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah mencegah dengan tangan (kekuasaan); jika tidak mampu, maka dengan lidahnya 9secara lisan) dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan hatinya (tidak senang, setuju dan reda). Dan ia adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)

Hasil carian imej untuk bersangka baik

Sheikh Abdul Kadir al-Jailani berpesan supaya kita menginsafi kekurangan diri dan sentiasa bersikap berbaik sangka terhadap sesama insan. Beliau memberi empat nasihat kepada kita.

Pertama, jika kamu bertemu dengan seseorang, maka yakinlah dia lebih baik darimu. Maka ucapkan dalam hatimu: “Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi daripadaku.”

Kedua, jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah dalam hatimu: “Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku sudah banyak bermaksiat kepada-Nya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku.”

Ketiga, jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu); “Dia sudah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik daripadaku.”

Keempat, jika bertemu dengan orang berilmu, maka ucapkanlah dalam hatimu: “Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperoleh, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketauhi dan dia mengamalkan ilmu-ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.”

Berhati-hati

Berbaik sangka terhadap sesama makhluk lebih mulia daripada bersangka buruk yang beoleh mendatangkan dosa. Namun, perlu diingat sangka baik perlu diimbangi sikap berhati-hati. Seperti mana perlunya berbaik sangka, begitulah juga kita perlu berhati-hati agar sifat baik itu tidak dieksploitasi musuh atau orang berkepentingan.

Sikat berhati-hati juga dibina oleh pengalaman. Apabila ilmu, fakta, dalil dan pengalaman bergabung, terbinalah sikap matang dalam berbaik sangka. ita berbaik sangka tetapi tidak mudah untuk ditipu atau dikehanati. Sikap berhati-hati danbelajar daripada pengalaman sangat penting agar sikap berbaik sangka tidak diputar-belitkan, dikhianati dan diperalatkan oleh orang berniat jahat.

Berikut adalah langkah yang perlu kita buat dan laksanakan agar diri kita termasuk daripada golongan yang berbaik sangka.

Pertama, banyakkan berdoa kepada Allah, Ini kerana kita hanya insan sangat lemah dan kerdil serta tidak mampu melawan hasutan syaitan dan iblis melainkan petunjuk dan bantuan Allah SWT.

Kedua, kita meletakkan diri seperti orang lain. Jika kita mahu orang berbaik sangka dengan kita, kita perlu bersikap yang sama dengan orang dahulu.

Ketiga, ambil kata-kata orang dengan makna yang baik. Jika orang kata yang tidak baik kepada kita atau orang lain, pastikan kita sentiasa berbaik sangka agar tidak tertipu dengan helah syaitan. Ini kerana sebaik saja sangkaan buruk bertapak dalam hati, Pelbagai dosa akan dilakukan.

Keempat, mencari ruang supaya kita boleh memafkannya, iaitu dengan sentiasa berusaha mencari ruang berbaik sangka terhadap orang yang kita mahu bersangka buruk. Mungkin dia ditimpa musibah berat sehingga tergelincir dari kebenaran.

Kelima, jauhkan diri daripada menjatuh hukum atas niat seseorang, iaitu tidak menghumum orang sebaik saja menerima sesuatu maklumat kerana apa didengar tidak semestinya betul.

-Tamat-

Sumber: Berita Harian, Jumaat, 13 April 2018