Menyantuni ummah membawa rahmat

Obor semangan peristiwa Hijrah diangkat menjadi asas kalendar Islam pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Ibn al-Khattab.

Tentunya, peristiwa hijrah Baginda Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sejauh kira-kira 340 kilometer menjadi inspirasi serta nilai kekuatan. Sirah bukan hanya bahan artifak sejarah yang menjadi tontonan sahaja, sebaliknya ia adalah pengajian reflektif yang bertindak sebagai agen penggerak ke arah ketamadunan generasi ini.

Hijrah ke Madinah disusun dengan penuh rapi oleh Rasulullah SAW bersama sahabat. Sesampainya di Madinah, sebagai usaha melebarkan dakwah, ada tiga keputusan strategik yang diambil oleh Rasulullah SAW iaitu pembinaan masjid, mempersaudarakan umat Islam khususnya Muhajirin dan Ansar serta dokumentasi perlembagaan pentadbiran negara Madinah.

Masjid Quba` dan Masjid Nabawi adalah institusi masjid terawal yang dibina dan diupayakan sebagai pusat ibadah dan dakwah. Masjid berfungsi sebagai pusat pengukuhan akidah dan pengajian bimbingan ilmu. Selain itu ia berperanan sebagai pusat pentadbiran, kemasyarakatan dan perundingan umat Islam. Ia menyerlahkan fungsinya di atas dasar takwa.

Hasil carian imej untuk hijrah

Seterusnya, langkah kedua ialah mempersaudarakan sesama Muslim sementara kelompok Aus dan Khazraj diharmonikan. Kedua-dua kelompok ini sudah sekian lama bersengketa sesama sendiri sehingga bertempur dalam peperangan. Apabila hadirnya cahaya Islam ke Madinah, Rasulullah SAW mendamaikan kedua kelompok berkenaan. Selain itu, golongan Muhajirin dan Ansar juga turut dipersaudarakan. Inilah wawasan strategik Rasulullah SAW, mengangkat roh kasih sayang dalam melebar dakwah. Bila hati dan jiwa berpadu, umat Islam akan bertambah gagah.

Langah strategik ketiga adalah menggubal dokumentasi Perlembagaan pentadbiran negara iaitu Sahifah Madinah yang mengandungi 47 Fasal kesemuanya. Perlembagaan ini berperanan sebagai pedoman hidup bernegara dalam suasana kemajmukan masyarakat MAdinah ketika itu.

Pendekatan inklusif dan komprehensif yang berteraskan kedamaian ini memancarkan sinar baharu kepada Kota Madinah.

Kepintaran Rasulullah SAW

Kepintaran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW berjaya menggerakkan asas masyarakat baharu di Madinah. Ia menonjolkan kerahmatan Islam melalui peribadi dan teladan mulia selain menjulang tinggi semangat kasih sayang dan rasa kebersamaan.

Ia menjadi asas kepada perkembangan dakwah serta membawa rahmat ke pelosok dunia. Wahyu Ilahi telah memberikan penegasan bahawa Muhammad SSW sebagai suri teladan kepada seluruh umat manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab: 21)

Dakwah yang dipandu oleh Rasulullah SAW adalah bertunjangkan akhlak dan pekerti yang mulia. Rasulullah SAW mengajarkan bahawa dakwah dan akhlak perlu bergabung menjadi satu, ia tidak boleh berpecah dua.

Ada perkara yang sering kita anggap kecil dalam hidup, tetapi itulah sebenarnya akhlak ajaran Rasulullah SAW yang menjadi intipati dakwah.

Hasil carian imej untuk hijrah

Lihat sahaja kepada pesanan Baginda supaya saling menjaga hak sesama Muslim seperti dalam hadis berikut: ” Hak sesama Muslim ada enam perkara”. LAlu Rasulullah SAW ditanya, “Apakah enam perkaraitu, ya Rasulullah? Jawab Baginda, “Apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila ia mengundangmu, penuhilah undangannya, apabila dia minta nasihat, berilah nasihat, apabila dia bersin lalu membaca tahmid, doakanlah dia semoga dia beroleh rahmat, apabila dia sakit, ziarahlah dia dan apabila dia meninggan dulia, ikutlah menghantar jenazahnya ke kubur.” (Imam Muslim).

Berdakwah tugas semua

Begini caranya Rasulullah SAW menyantuni umat. Pengisian dan kaedahnya bersesuaian dengan konteks. Pendekatan hikmah dan penuh kehalusan budi, Biar orang makin jinak, bukan makin jarak. Agama itu adalah nasihat.

Agenda dakwah menyantuni umat perlulah disambut oleh semua pihak kerana ia adalah sesuatu yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW, Ia perlu disambut oleh individu Muslim, masyarakat dan semua pihak.

Usaha dakwah bukanlah tugas ‘dia’, juga bukan tugas ‘mereka’, tetapi ia tugas ‘kita’. Kita semua adalah da`i. Tidak kira apa juga latar belakang kita. Kita semua boleh berdakwah. Bagaimana? Jawapannya ialah dengan kita menampilkan akhlak mulia, mengajak orang ke arah kebaikan serta mencegah kemungkara. Ia dilaksanakan secara berhikmah, nasihat serta dialog secara harmoni dan baik.

Bersempena Sambutan Maal Hijrah Tahun 1440 Hijrah, marilah kita bersama terus membaca dan mengkaji sirah Rasulullah SAW dan seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Jalan dakwah ialah jalan Rasulullah SAW, seorang Rasul yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (Al-Anbiya’: 107)

-Tamat-

Sumber: Khamis, 13 September 2018 (AGAMA)