Usah pisahkan hijrah diri dengan hijrah bina negara

Oleh: Zamri Hashim (Timbalan Mufti Perak)

Menurut Al Asfahani dalam Gharib di Auran, hijrah dari sudut bahasa ialah berpisah dari seseorang sama ada secara fizikal, lisan mahupun hati. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat hijrah bermaksud perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah; ia juga membawa makna berpindah, meninggalkan sesuatu tempat untuk ke tempat lain.

Sebagaimana peristiwa hijrah Rasulullah SAW membawa perubahan besar kepada landskap perjalanan susur galur Islam dan umatnya, begitu juga hijrah individu juga sepatutnya membawa perubahan besar dalam kehidupan kita semua.

Hijrah yang kita maksudkan di sini ialah hijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan positif. Pencapaian paling gemilang dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW ialah tertegaknya sebuah negara Islam menyebabkan seluruh ajaran ISlam dapat dibuktikan bahawa Islam adalah cara hidup dari sekecil-kecil perkara yang bersifat amalan individu sehingga kepada hidup bernegara.

Negara Islam Madinah pula ditadbir dan dibangunkan oleh manusia yang dibangunkan terlebih dahulu iman dan amalnya ukhuwah erat dari kalangan Ansar. Mereka pasti sudah melakukan hijrah dan perubahan diri yang hebat.  Itu gabungan fomular hebat peristiwa hijrah, tergabung antara hijrah diri dan hijrah membentuk sesebuah negara.

Mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah, jangan sesekali kita pisahkan antara penghijrahan diri kita kepada yang lebih baik dengan usaha kita membina sebuah negara seperti yang dikehendaki oleh Allah iaitu negara yang patuh segala peraturan Allah SWT. Nabi SAW membina peribadi yang kukuh akidahnya selama 13 tahun sebelum berhijrah ke MAdinah di samping berhijrah ke Madinah di samping menghantar Mus`ab bin Umair sebagai utusan awal membina peribadi yang sanggup mempertahankan akidah di Madinah sendiri. Mereka ini akhirnya yang menjadi sendi kekuatan negara Islam Madinah. Keperibadian yang soleh sangat penting di dalam sebuah negara yang soleh.

Negara idea semua pihak

Dalam kontaks Malaysia yang kita cintai, semua orang Islam wajib mengimpikan ia menjadi sebuah negara seperti negara Islam Madinah, sebuah negara harmoni, aman damai, dibangunkan bersama-bersama, menjadi tempat tertumpahnya taat setia seluruh rakyat, sama ada Muslim ataupun bukan Muslim, semua pihak tidak dipinggirkan haknya dan semua rakyat menjunjung keluruhan undang-undang seperi mana penduduk Madinah menjunjung Piagam Madinah.

Hasil carian imej untuk hijrah membina diri

Mana-mana pihak yang mencabul undang-undang berhak untuk mendapat hukuman seperti nabi SAW menjatuhkan hukuman kepada beberapa kelompok Yahudi kerana mencabuli Piagam Madinah. Daripada impian inilah sepatutnya bermula segala usaha untuk merealisasikannya. Banyak peristiwa yang berlaku bermula dengan impian.

Antara fahaman yang perlu diperbetulkan ialah apabila seseorang itu melakukan penghijrahan diri yang lebih baik, dia merasakan sudah mencapai klimaks dalam hidup beragama sedangkan perjuangan membina negara dengan sistem Islam itu masih pangang dan berliku.

Memang benar penghijrahan diri itu dituntut, namun ia hanya akan sempurna apabila sampai ke peringkat syariat dapat dilaksanakan secara sempurna dalam negara ini. Fenomena berkeperibadian soleh, tetapi tidak menghiraukan apa yang bakal berlaku kepada Islam dan umatnya di negara ini adalah gambaran pemahaman yang perlu diperbetulkan.

Bagaimana kelompok lelaki soleh yang berada di saf paling hadapan diikuti dengan saf solat yang tertib dan kemas ketika menunaikan solat di masjid begitulah juga sepatutnya jemaah menjadi panglima baris hadapan dan diikuti solidariti kemas sesama Muslim apabuila menghadapi cabaran yang menyentuh Islam dan umat Islam di negara ini.

Apatah lagi jika cabaran itu dalam bentuk penerangan berkenaan Islam yang sebenarnya, menjelaskan sebarang kekeliruan berkaitan Islam dan memeprtahankan Islam di negara ini. Gunakanlah semua usaha yang dibenarkan oleh syarak juga perundangan negera untuk kita mendaulatkan Islam dalam negara ini sebagai mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW yang ‘menghijrah’ peribadi pendukung Islam yang terawal kepada peribadi hebat sebagai persediaan membina sebuah negara Islam yang hebat.

-Tamat-

Sumber: Berita Harian, Jumaat, 14 September 2018 (AGAMA)