Ketinggian ilmu tidak halang gali pengetahuan

Seperti resmi padi semakin berisi semakin tunduk. Itulah gambaran tepat dalam mempamerkan sifat tokoh ulama alam Melayu yang masyhur di Makkah, Syeikh Wan Ismail Wan Abdul Qodir Al Fatoni atau lebih dikenali sebagai Pak Da Eil dalam hal menuntut ilmu.

Meskipun dikenali sebagai ulama yang pakar dalam ilmu bahasa dan pelbagai displin serta cabang ilmu Islam, ia masih tidak menghalang Pak Da Eil untuk terus menggali lebih banyak ilmu pengetahuan.

Kerendahan diri Pak Da Eil dalam hal menuntut ilmu ini tentunya amat berbeza jika mahu dibandingkan dengan kebanyakan kita dalam dunia hari ini seperti ditegaskan oleh Pengerusi Sekretariat Talaqqi Kitab Turath, Ahmad Ridoudin Abdul Wahab.

Ahmad Ridoudin berkata, meskipun Pak Da Eil sendiri menjadi guru kepada ramai tokoh iulama terkenal termasuk Syeikh Abdul Qadir Abdul Muthalib Al-Mandili yang masyhur sebagai pengajar di Masjidil Haram, beliau tidak segan untuk terus menimba ilmu.

Bertemu ramai ilmuan

Perjalalan mencari ilmu juga mempertemukan Pak Da Eil dengan ramai ulama hebat termasuk Mufti Mazhab Maliki di Makkah, Syeikh Ali Hussein Al-Maliki dan ulama Mazhab Syafie di Makkah, Syeikh Said Al-Yamani yang kemudian menjadi gurunya.

Hasil carian imej untuk Syeikh Wan Ismail Wan Abdul Qodir Al Fatoni

“Semakin tinggi belajar, semakin kita menyedari terdapat banyak lagi kejahilan dan ilmu yang masih belum diketahui apatah lagi jika guru yang mengajar terdiri daripada alim yang handal dalam perbicaraan ilmunya.

“Dalam hal menuntut ilmu, alim ulama zaman dahulu bisanya akan mempelajari semua ilmu yang biasanya akan mengambil masa berpuluh tahun dan itulah yang dilalui Pak Da Eil.

“Beliau juga suka mengkaji kitab dan menuskrip. Banyaknya kitab di kediamannya hinggakan ada yang menyebut untuk mencapai kitab itu, perlu memanjat dengan tangga terlebih dahulu,” katanya pada Program Ketokohan Syeikh Wan Ismail Wan Abdul Qodir Al Fathoni di Masjid Bandar Baru Sungai Buluh (MBBSB).

Acara anjuran MBBSB, Pondok Rami Sufi Jawi dan Sekretariat Talaqqi Kitab Turuth, Maahad Ihya Ulumiddin itu diadakan bagi membicarakan ketokohan Pak Da Eil sebagai Ulama Tanah JAwi yang menguasai hampir semua displin ilmu agama.

Pak Da Eil dilahirkan di Kampung Benang Daya, Pattani pada 1882 dan dibawa ke Makkah oleh bapanya pada usia 13 tahun dan menetap di sana sehingga ke akhir hayatnya.

Ahmad Ridoudin berkata, Makkah menjadi tempat Pak Da Eil menuntut ilmu hingga bergelar seorang alim. Kepakaran ilmu yang dimilikinya sangat luas terutamanya dalam bidang tauhid dan usuluddin.

“Kepakaran dalam ilmu tauhid memperlihatkan bagaimana Pak Da Eil turut mempelopori penciptaan istilah dalam bidang ilmu. Usaha beliau ini membolehkan ilmu tauhid dipelajari dengan lebih mudah dan tepat hingga beliau akhirnya digelar sebagai Amirul Mukminin.

Mujadid dalam ilmu tauhid

“Ketokohan beliau itu juga diperlihatkan dengan jelas dalam kitab karangannya, termasuk Bakuratul Amani atau Bakurah Al-Amani. Ilmu yang tersisip dalam kitab ini menyebabkan kendungannya turut menjadi rujukan sehingga ke ratnat Asia,” katanya.

Bakuratul Amani padat dengan ilmu dan mengandungi pelbagai perbahasan termasuk mengenao makna kalimah syahadah hinggalah kepada perbahasan mengenai penciptaan makhluk.

Hasil carian imej untuk Syeikh Wan Ismail Wan Abdul Qodir Al Fatoni

Tek ringkasnya, Mantan Bakurah ditulis Pak Da Eil di Kedah ketika musafirnya, makala teks perbahasannya atau Syarah Bakurah ditulis sewaktu berada di Makkah.

Ahmad Ridoudin berkata, penulisan kitab itu menjadi seolah ‘pembuka jalan’ untuk memahami seluruh kitab tauhid dalam bahasa Arab yang lain.

“Tidak mudah mempelajari kitab itu tetapi apabila berupaya memahaminya, kita akan dapati mudah nuntuk mempelajari kitab tauhid yang lain.

“Penulisan kitab itu juga menyebabkan Pak Da Eil dianggap sebagai seorang mujahid dalam ilmu tauhid. Beliau dilihat membawa pembaharuan hinggakan namanya terkenal bukan saja di Makkah, malah di Indonesia, Pattani dan di negara ini sendiri.

“Kebanyakkan anak murid Pak Da Eil ialah alim terkenal malah ramai daripada mufti di negara ini yang pernah berguru dengannya,” katanya.

Mengikut catatan sesetengah ulama, Pak Da Eil dikatakan perbah pulang ke Tanah Jawi sebanyak dua kali sebelum beliau akhirnya meninggal dunia di Makkah pada usianya 80-an dan dikebumikan berhampiran makam Saidatina Siti Khadijah.

-Tamat-

Sumber: Berita Harian, Rabu, 10 Oktober 2018 (AGAMA)