Latar Belakang

Sejarah Penubuhan

Penubuhan Yayasan Muslimin Malaysia Berhad telah diusahakan oleh sebahagian Anggota Lembaga Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (Koperasi) pada tahun 1990. Pada ketika itu, perkembangan Koperasi sangat menggalakkan dengan kemasukan lebih 10,000 anggota baru. Usaha untuk memberi kefahaman tentang bermuamalat patuh syariat Islam kepada anggotanya melalui pendidikan memberikan satu cabaran besar kepada Koperasi. Justeru, Anggota Lembaga Koperasi pada ketika itu memikirkan keperluan penubuhan sebuah Yayasan bagi melaksanakan tuntutan tersebut.

Maka pada 4 Julai 1991, tertubuhlah Yayasan Muslimin Malaysia Berhad (220200-K) dengan rasminya melalui Pendaftar Syarikat di bawah Akta 1965, sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (bukan untuk keuntungan – Non Profit Company ). Yayasan Muslimin Malaysia Berhad (Yayasan Muslimin) pada peringkat awal penubuhannya, bergerak atas sumbangan dana yang diperolehi daripada anggota Koperasi yang menyumbang secara tetap melalui caruman bulanan minima RM2.00 setiap seorang. Tanggungjawab utama Yayasan Muslimin pada ketika itu ialah untuk mengelolakan urusan pendidikan muamalat Islam khusus kepada anggota Koperasi. Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) yang pertama menerajui Yayasan Muslimin ialah;

  1. Tan Sri Dr. Abdul Hamid bin Haji Othman (almarhum);
  2. Tn. Hj. Ghazali @ Mohamad Remali bin Haji Abd Hamid;
  3. Tn. Hj. Mohd Noor bin Mohd Yusof (almarhum); dan
  4. Tn. Hj. Us. Mohd Ramli bin Nikman;



Selain keutamaannya berfungsi untuk ahli Koperasi, Yayasan Muslimin juga berperanan sebagai sebuah badan bebas yang juga melaksanakan kegiatan ‘kebajikan untuk masyarakat’ melalui kutipan dana awam. Keluasan skop aktiviti Yayasan Muslimin itu membolehkannya menyantuni gulongan yang memerlukan bantuan. Masih ramai daripada kalangan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan kebajikan walau banyak organisasi yang mengelolakannya.

Bagi tujuan mendapatkan sumbangan dana awam untuk mencapai maksud tersebut, ALPA Yayasan Muslimin ketika itu telah berurusan dengan Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN). Akhirnya Yayasan Muslimin sebagai Syarikat Utama (Principle Company) telah menubuhkan Tabung Amanah (Trust Fund) yang bertujuan untuk memberikan pengecualian cukai kepada orang awam yang menderma. Pada 3 Julai 1992 pihak JHDN telah memberi kelulusan kepada YAYASAN MUSLIMIN (JHDN. 01/35/42/51/179-6.3976) untuk mengeluarkan resit pelepasan cukai kepada penderma di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

© 2022 HAKCIPTA TERPELIHARA - YAYASAN MUSLIMIN MALAYSIA BERHAD