Pendahuluan

Sejarah tamadun Islam banyak mencatatkan kejayaan umat Islam membentuk institusi-institusi ummah dalam usaha memartabat dan merealisasikan Islam sebagai satu sistem hidup menyeluruh yang berpaksikan keimanan kepada Allah SWT. Institusi-institusi yang diwujudkan itu merangkumi pelbagai bidang dalam kehidupan manusia. Antaranya ialah institusi Baitulmal yang wujud pada awal pemerintahan Kerajaan Islam di al-Madinatul Munawwarah. Institusi tersebut menjadi contoh terbaik kepada umat Islam dalam pengurusan dan pembangunan ekonomi ummah termasuk urusan waqaf, sadaqah dan zakat. Pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Fatimiyyah di Mesir pula, institusi pendidikan yang terkenal iaitu Universiti al-Azhar dibina atas sumbangan waqaf dan bantuan daripada kerajaan sendiri.

Perkembangan institusi berasaskan waqaf di negara Malaysia juga telah lama berkembang. Kebanyakan masjid, surau dan pusat pengajian agama ditubuhkan melalui sumber waqaf, sadaqah dan zakat. Sejak kebelakangan ini umat Islam telah memberikan perhatian tentang pengurusan institusi tersebut agar lebih cekap dan berkesan. Lantaran itu usaha gigih perlu digerakkan untuk mendapatkan sokongan masyarakat melalui program dakwah dan pendidikan, kebajikan masyarakat, dan kegiatan ekonomi. Semangat pengorbanan yang tinggi dan jihad yang berterusan bagi meneruskan kegemilangan institusi tersebut perlu digembeling dan digerakkan dengan cara yang lebih profesional.

Atas landasan itu Yayasan Muslimin Malaysia Berhad ditubuhkan bagi mendidik dan mengajak umat Islam khususnya di Malaysia untuk bersama-sama memperjuangkan membina semula institusi ummah bagi menjana kegemilangannya untuk mendapat keredaan Allah SWT.


© 2022 HAKCIPTA TERPELIHARA - YAYASAN MUSLIMIN MALAYSIA BERHAD